سورة الحاقة

Al-Haqqah

Surah 69 · 52 ayat · Makkiyah
⬇ Muat turun

بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَٰنِ الرَّحِيمِ

1
الْحَاقَّةُ

Saat yang tetap berlaku itu

2
مَا الْحَاقَّةُ

Apakah dia sifat dan keadaan saat yang tetap berlaku itu

3
وَمَا أَدْرَاكَ مَا الْحَاقَّةُ

Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui tentang sifat dan keadaan saat yang tetap berlaku itu? (Saat itu ialah hari kiamat)

4
كَذَّبَتْ ثَمُودُ وَعَادٌ بِالْقَارِعَةِ

Kaum Thamud dan Aad telah mendustakan hari (kiamat) yang menggempar dan mengharukan itu

5
فَأَمَّا ثَمُودُ فَأُهْلِكُوا بِالطَّاغِيَةِ

Maka (masing-masing menerima azab dunianya) - adapun Thamud (kaum Nabi Soleh), maka mereka telah dibinasakan dengan (petir) yang melampau dahsyatnya

6
وَأَمَّا عَادٌ فَأُهْلِكُوا بِرِيحٍ صَرْصَرٍ عَاتِيَةٍ

Adapun Aad (kaum Nabi Hud), maka mereka telah dibinasakan dengan angin ribut yang kencang, yang melampau kencangnya

7
سَخَّرَهَا عَلَيْهِمْ سَبْعَ لَيَالٍ وَثَمَانِيَةَ أَيَّامٍ حُسُومًا فَتَرَى الْقَوْمَ فِيهَا صَرْعَىٰ كَأَنَّهُمْ أَعْجَازُ نَخْلٍ خَاوِيَةٍ

Yang diarahkannya menyerang mereka tujuh malam lapan hari terus-menerus; (kalaulah engkau menyaksikannya) maka engkau akan melihat kaum itu bergelimpangan mati, seolah-olah mereka: batang-batang pohon kurma yang (tumbang dan) lompang

8
فَهَلْ تَرَىٰ لَهُمْ مِنْ بَاقِيَةٍ

Dengan yang demikian, dapatkah engkau melihat lagi sisa-sisa mereka (yang masih hidup)

9
وَجَاءَ فِرْعَوْنُ وَمَنْ قَبْلَهُ وَالْمُؤْتَفِكَاتُ بِالْخَاطِئَةِ

Dan (selain dari mereka) datanglah Firaun, dan orang-orang yang terdahulu daripadanya, serta penduduk negeri-negeri yang telah ditunggang balikkan - dengan melakukan perkara-perkara yang salah

10
فَعَصَوْا رَسُولَ رَبِّهِمْ فَأَخَذَهُمْ أَخْذَةً رَابِيَةً

Iaitu masing-masing menderhaka kepada Rasul (yang diutuskan oleh) Tuhan mereka, lalu Allah menyeksa mereka dengan azab yang sentiasa bertambah

11
إِنَّا لَمَّا طَغَى الْمَاءُ حَمَلْنَاكُمْ فِي الْجَارِيَةِ

Sesungguhnya Kami, - ketika air (banjir) melampaui hadnya (serta menenggelamkan gunung-ganang), - telah mengangkut (serta menyelamatkan nenek moyang) kamu ke dalam bahtera Nabi Nuh (yang bergerak laju pelayarannya)

12
لِنَجْعَلَهَا لَكُمْ تَذْكِرَةً وَتَعِيَهَا أُذُنٌ وَاعِيَةٌ

(Kami lakukan yang demikian) untuk Kami jadikan peristiwa itu satu pelajaran bagi kamu, dan untuk didengar serta diambil ingat oleh telinga (orang-orang) yang mahu menerima pengajaran

13
فَإِذَا نُفِخَ فِي الصُّورِ نَفْخَةٌ وَاحِدَةٌ

Kemudian (ketahuilah bahawa) apabila ditiup Sangkakala dengan sekali tiup

14
وَحُمِلَتِ الْأَرْضُ وَالْجِبَالُ فَدُكَّتَا دَكَّةً وَاحِدَةً

Dan bumi serta gunung-ganang diangkat (dari tempatnya) lalu dihancurkan keduanya dengan sekali hancur

15
فَيَوْمَئِذٍ وَقَعَتِ الْوَاقِعَةُ

Maka pada saat itu berlakulah hari kiamat

16
وَانْشَقَّتِ السَّمَاءُ فَهِيَ يَوْمَئِذٍ وَاهِيَةٌ

Dan terbelahlah langit, lalu menjadilah ia pada saat itu reput (dan runtuh)

17
وَالْمَلَكُ عَلَىٰ أَرْجَائِهَا ۚ وَيَحْمِلُ عَرْشَ رَبِّكَ فَوْقَهُمْ يَوْمَئِذٍ ثَمَانِيَةٌ

Sedang malaikat-malaikat (ditempatkan) mengawal segala penjurunya, dan Arasy Tuhanmu pada saat itu dipikul oleh lapan malaikat di atas malaikat-malaikat yang mengawal itu

18
يَوْمَئِذٍ تُعْرَضُونَ لَا تَخْفَىٰ مِنْكُمْ خَافِيَةٌ

Pada hari itu, kamu semua dihadapkan (untuk hitungan amal); tidak ada sesuatu pun yang tersembunyi (kepada Allah) dari perkara-perkara kamu yang tersembunyi

19
فَأَمَّا مَنْ أُوتِيَ كِتَابَهُ بِيَمِينِهِ فَيَقُولُ هَاؤُمُ اقْرَءُوا كِتَابِيَهْ

Maka sesiapa yang diberikan menerima Kitab amalnya dengan tangan kanannya, maka ia akan berkata (dengan sukacitanya kepada sesiapa yang ada di sisinya): ` Nah! Bacalah kamu Kitab amalku ini

20
إِنِّي ظَنَنْتُ أَنِّي مُلَاقٍ حِسَابِيَهْ

Sesungguhnya aku telah mengetahui dengan yakin, bahawa aku akan menghadapi hitungan amalku (pada hari yang ditentukan)

21
فَهُوَ فِي عِيشَةٍ رَاضِيَةٍ

Maka (dengan itu) tinggalah dia dalam kehidupan yang senang lenang lagi memuaskan

22
فِي جَنَّةٍ عَالِيَةٍ

Di dalam Syurga yang tinggi (darjatnya)

23
قُطُوفُهَا دَانِيَةٌ

Buah-buahannya dekat untuk dipetik

24
كُلُوا وَاشْرَبُوا هَنِيئًا بِمَا أَسْلَفْتُمْ فِي الْأَيَّامِ الْخَالِيَةِ

(Masing-masing dipersilakan menikmatinya dengan dikatakan): "Makan dan minumlah kamu makanan dan minuman sebagai nikmat yang lazat dan baik kesudahannya, dengan sebab (amal-amal soleh) yang telah kamu kerjakan pada masa yang lalu (di dunia)

25
وَأَمَّا مَنْ أُوتِيَ كِتَابَهُ بِشِمَالِهِ فَيَقُولُ يَا لَيْتَنِي لَمْ أُوتَ كِتَابِيَهْ

Adapun orang yang diberikan menerima Kitab amalnya dengan tangan kirinya, maka ia akan berkata (dengan sesalnya): "Alangkah baiknya kalau aku tidak diberikan Kitab amalku

26
وَلَمْ أَدْرِ مَا حِسَابِيَهْ

Dan aku tidak dapat mengetahui hitungan amalku

27
يَا لَيْتَهَا كَانَتِ الْقَاضِيَةَ

Alangkah baiknya kalau kematianku di dunia dahulu, menjadi kematian pemutus (yang menamatkan kesudahanku, tidak dibangkitkan lagi)

28
مَا أَغْنَىٰ عَنِّي مَالِيَهْ ۜ

Harta kekayaanku tidak dapat menolongku sedikitpun

29
هَلَكَ عَنِّي سُلْطَانِيَهْ

Kuat kuasaku (dan hujjah-hujjahku membela diri), telah binasa dan hilang lenyap dariku

30
خُذُوهُ فَغُلُّوهُ

(Lalu diperintahkan malaikat penjaga neraka): "Tangkaplah orang yang berdosa itu serta belenggulah dia

31
ثُمَّ الْجَحِيمَ صَلُّوهُ

Kemudian bakarlah dia di dalam neraka Jahiim

32
ثُمَّ فِي سِلْسِلَةٍ ذَرْعُهَا سَبْعُونَ ذِرَاعًا فَاسْلُكُوهُ

Selain dari itu, masukkanlah dia dalam (lingkaran) rantai besi yang ukuran panjangnya tujuh puluh hasta, (dengan membelitkannya ke badannya)

33
إِنَّهُ كَانَ لَا يُؤْمِنُ بِاللَّهِ الْعَظِيمِ

Sesungguhnya dia dahulu tidak beriman kepada Allah Yang Maha Besar

34
وَلَا يَحُضُّ عَلَىٰ طَعَامِ الْمِسْكِينِ

Dan dia juga tidak menggalakkan (dirinya dan orang lain) memberi makanan (yang berhak diterima oleh) orang miskin

35
فَلَيْسَ لَهُ الْيَوْمَ هَاهُنَا حَمِيمٌ

Maka pada hari ini, tidak ada baginya di sini (seorangpun dari) kaum kerabat serta sahabat handai (yang dapat menolongnya)

36
وَلَا طَعَامٌ إِلَّا مِنْ غِسْلِينٍ

Dan tidak ada makanan (baginya) melainkan dari air danur

37
لَا يَأْكُلُهُ إِلَّا الْخَاطِئُونَ

Yang tidak memakannya melainkan orang-orang yang melakukan perkara yang salah

38
فَلَا أُقْسِمُ بِمَا تُبْصِرُونَ

Maka Aku bersumpah: Demi segala (yang nyata) yang kamu melihatnya

39
وَمَا لَا تُبْصِرُونَ

Dan segala (yang ghaib) yang kamu tidak melihatnya

40
إِنَّهُ لَقَوْلُ رَسُولٍ كَرِيمٍ

Bahawa sesungguhnya Al-Quran itu ialah (wahyu dari Kami) yang disampaikan oleh Rasul yang mulia

41
وَمَا هُوَ بِقَوْلِ شَاعِرٍ ۚ قَلِيلًا مَا تُؤْمِنُونَ

Dan bukanlah Al-Quran itu perkataan seorang penyair (sebagaimana yang kamu dakwakan. Tetapi sayang!) amatlah sedikit kamu beriman

42
وَلَا بِقَوْلِ كَاهِنٍ ۚ قَلِيلًا مَا تَذَكَّرُونَ

Dan juga bukanlah Al-Quran itu perkataan seorang pawang (sebagaimana yang kamu katakan. Tetapi sayang!) amatlah sedikit kamu mengambil peringatan

43
تَنْزِيلٌ مِنْ رَبِّ الْعَالَمِينَ

(Al-Quran itu) diturunkan dari Allah Tuhan sekalian alam

44
وَلَوْ تَقَوَّلَ عَلَيْنَا بَعْضَ الْأَقَاوِيلِ

Dan kalaulah (Nabi Muhammad yang menyampaikan Al-Quran itu) mengatakan atas nama Kami secara dusta - sebarang kata-kata rekaan

45
لَأَخَذْنَا مِنْهُ بِالْيَمِينِ

Sudah tentu Kami akan menyentapnya, dengan kekuasaan Kami

46
ثُمَّ لَقَطَعْنَا مِنْهُ الْوَتِينَ

Kemudian sudah tentu Kami akan memutuskan tali jantungnya (supaya ia mati dengan serta-merta)

47
فَمَا مِنْكُمْ مِنْ أَحَدٍ عَنْهُ حَاجِزِينَ

Maka tidak ada seorangpun di antara kamu yang dapat menghalang (tindakan Kami itu) daripada menimpanya

48
وَإِنَّهُ لَتَذْكِرَةٌ لِلْمُتَّقِينَ

Dan sesungguhnya (Al-Quran) itu tetap menjadi peringatan bagi orang-orang yang bertaqwa

49
وَإِنَّا لَنَعْلَمُ أَنَّ مِنْكُمْ مُكَذِّبِينَ

Dan sesungguhnya Kami sedia mengetahui bahawa ada di antara kamu yang mendustakan (Al-Quran, maka Kami akan membalasnya)

50
وَإِنَّهُ لَحَسْرَةٌ عَلَى الْكَافِرِينَ

Dan sesungguhnya Al-Quran itu sudah tentu akan menyebabkan penyesalan bagi orang-orang yang kafir (semasa mereka menerima balasan)

51
وَإِنَّهُ لَحَقُّ الْيَقِينِ

Dan sesungguhnya Al-Quran itu adalah kebenaran yang diyakini (dengan seyakin-yakinnya)

52
فَسَبِّحْ بِاسْمِ رَبِّكَ الْعَظِيمِ

Oleh itu bertasbihlah dengan memuji nama Tuhanmu Yang Maha Besar